LayarAngkasa

The Truth is Out There

Malaysia cadang langkah mengenai Palestin di Mesyuarat OIC

KUALA LUMPUR 11 Jan. — Malaysia merancang untuk mengemukakan cadangan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Penerangan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) akan datang, yang bertujuan menghentikan pembunuhan dan penyiksaan terhadap penduduk Palestin ekoran pencerobohan Israel di Gaza.

Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata beliau akan berusaha untuk mendapatkan persetujuan kesemua negara anggota OIC bahawa apa yang berlaku di Palestin tidak kurang daripada “pembersihan etnik” atau penghapusan bangsa.

“Apa yang telah kita saksikan sejak dua minggu lepas adalah semata-mata satu penyembelihan. Tidak banyak negara di dunia yang dapat berdepan dengan kekuatan dan kekuasaan bala tentera Israel.

“Apakah yang dapat dilakukan oleh penduduk Palestin apabila mereka dikepung dan dinafikan keperluan asas selama ini?” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ahmad Shabery, yang akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Penerangan OIC kali ke-8 di Rabat, Maghribi, dari 25 hingga 28 Jan, berkata beliau akan turut berusaha mendapatkan persetujuan anggota OIC untuk menganggap Gaza dan Tebing Barat sebagai kem pengasingan besar yang diwujudkan oleh rejim Tel Aviv untuk penduduk Palestin yang telah diusir dari kediaman dan tanah air yang mereka warisi sejak turun temurun.

— BERNAMA

11/01/2009 Posted by | Layar Angkasa | Leave a comment